Mekanisme Baru Undian Bolasepak Sukan SEA 2017

Mekanisme Baru Undian Bolasepak Sukan SEA 2017|SATU mesyuarat khas antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Malaysia (MASOC) telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. Ia telah dihadiri oleh Setiausaha Agung MOM, Dato’ Low Beng Choo serta wakil-wakil daripada FAM dan juga MASOC.

Mekanisme Baru Undian Bolasepak Sukan SEA 2017

Mesyuarat selama sejam itu telah mencapai persetujuan berhubung mekanisme baharu yang akan dilaksanakan pada majlis undian acara bola sepak Sukan SEA 2017 di ibu negara, Sabtu ini yang pada dasarnya diharap tidak akan menimbulkan lagi rasa tidak puas hati beberapa negara bertanding.

Ini kerana, kedudukan dan susunan pasukan pilihan bagi setiap balang dalam mekanisme baharu undian ini adalah diambil kira berdasarkan kedudukan dan prestasi setiap pasukan pada temasya edisi sebelum ini iaitu Sukan SEA 2015 di Singapura.

Berikut adalah mekanisme baharu undian tersebut seperti yang telah dipersetujui oleh FAM, MOM dan MASOC:

1. Sebanyak 11 pasukan mengambil bahagian menjadikan Kumpulan A akan mempunyai 5 pasukan manakala Kumpulan B mempunyai 6 pasukan.

2. Tuan rumah iaitu Malaysia akan diletakkan terus dalam Kumpulan A di posisi A1 manakala juara bertahan, Thailand selaku pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 pula akan diletakkan terus dalam Kumpulan B iaitu di posisi B1.

3. Undian akan dimulakan dengan Balang 1 yang mengandungi pasukan Myanmar (pingat perak Sukan SEA 2015) dan Vietnam (pingat gangsa Sukan SEA 2015). Pasukan pertama yang dipilih nanti akan ke Kumpulan A iaitu di posisi A2 manakala pasukan berikutnya akan ke Kumpulan B di posisi B2.

4. Undian diteruskan dengan Balang 2 yang mengandungi pasukan Indonesia (tempat ke-4 Sukan SEA 2015) dan Singapura (tempat ke-3 Kumpulan A, Sukan SEA 2015).  Pasukan pertama yang dipilih akan ke Kumpulan A iaitu di posisi A3 manakala pasukan berikutnya akan ke Kumpulan B di posisi B3.

5. Kemudian undian untuk Balang 3 yang mengandungi lima pasukan iaitu Kemboja (tempat ke-4 Kumpulan A, Sukan SEA 2015), Laos (tempat ke-4 Kumpulan B, Sukan SEA 2015), Filipina (tempat ke-5 Kumpulan A, Sukan SEA 2015), Timor-Leste (tempat ke-5 Kumpulan B, Sukan SEA 2015) dan Brunei (tempat ke-6 Kumpulan B, Sukan SEA 2015).

6. Pasukan pertama yang dipilih akan diletakkan di posisi A4, diikuti B4 dan seterusnya A5, B5 dan akhir sekali B6 bagi melengkapkan undian.

Mekanisme baharu undian ini akan dihantar ke Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi mendapat kelulusan sebelum diguna pakai pada majlis undian, Sabtu ini.

Mudah-mudahan dengan pelaksanaan mekanisme baharu undian ini, tiada lagi isu dibangkitkan oleh negara-negara bertanding dan saingan acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dari 14 Ogos hingga 29 Ogos depan dapat berlangsung dalam suasana penuh semangat kesukanan.

No comments

Powered by Blogger.