TRW Dihormati, Henti Salahkan Pihak Lain

TRW Dihormati, Henti Salahkan Pihak Lain|Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) meminta supaya tidak dipersalahkan berhubung isu sekatan perpindahan pemain The Red Warriors (TRW).

TRW Dihormati, Henti Salahkan Pihak Lain

Menerusi satu kenyataan di Facebook FAM dan FMLLP pada Ahad, sekatan terhadap perpindahan pemain bukan fenomena baharu dalam dunia bola sepak.

“Kelab-kelab besar antarabangsa seperti Barcelona, Real Madrid, Atletico Madrid, Chelsea, Blackburn Rovers, Leeds United, Nottingham Forest, Portsmouth, AS Roma, Glasgow Rangers, Port Vale, Watford dan banyak lagi pernah dikenakan sekatan perpindahan pemain atas pelbagai sebab.

“Perbelanjaan pasukan dan kegagalan mereka (TRW) untuk memenuhi syarat bukanlah kesalahan FAM atau FMLLP dengan pengurusan pasukan yang menentukan berapa jumlah dibelanjakan. Dan bila mereka gagal itu bukanlah kesalahan pihak lain,” menurut kedua-dua badan itu dalam satu kenyataan.

Malah FAM dan FMLPP berkata, kenyataan mengenai Kelantan akan jatuh ke Liga Perdana disebabkan kegagalan pengurusan menggantikan seorang pemain import dilihat hanya menidakkan kekuatan tradisi pasukan itu.

Tambah kedua-dua badan itu, TRW kukuh dengan semangat berpasukan, barisan penyokong yang tegar dan komitmen dari semua pihak berkepentingan dalam bola sepak Kelantan.

“Kekuatan pasukan Kelantan masih kekal dan tetap dihormati oleh semua yang terlibat di dalam bola sepak Malaysia.

“Kami berharap ianya berterusan dan pasukan Kelantan akan terus menjadi pasukan gergasi di dalam kancah bola sepak Malaysia,” katanya.

Pada Ahad, Tan Sri Annuar Musa mendakwa tindakan FAM dan FMLLP telah menghancurkan daya saing pasukan TRW.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu berkata, Kelantan kini berdepan diturunkan ke Liga Perdana akibat sekatan-sekatan yang dikenakan kedua-dua badan tersebut.

"FMLLP (dan) FAM sudah boleh bergembira meraikan kejayaan mereka menghancurkan daya saing TRW. Kini TRW sedang menuju (ke) Liga Perdana dan pelaburan penaja habis ke laut,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.

Sebelum ini, Kafa berdepan beberapa isu dengan FMLLP antaranya dipotong tiga mata dalam saingan Liga Super selepas persatuan itu gagal melunaskan tunggakan gaji pemain pasukan tersebut musim lalu.

Selain itu, Kafa turut dikenakan sekatan  membawa masuk penyerang import dari Perancis, Seydi L Imam bagi menggantikan pemain import, Alessandro Podovani Celin.

Rayuan yang dikemukakan Kafa bagi mendapatkan khidmat pemain tersebut turut ditolak FMLLP.

Kelantan kini berada di tangga ketujuh saingan Liga Super dengan 17 mata selepas 14 perlawanan hasil daripada enam kemenangan, dua seri dan enam kekalahan.

No comments

Powered by Blogger.