Safawi Teruja Dapat Jaringkan Gol Cantik Voli Mirip Robin Van Persie

Safawi Teruja Dapat Jaringkan Gol Cantik Voli Mirip Robin Van Persie|BEGITULAH jaringan dilakar penyerang skuad bawah 22 (B-22) Malaysia, Safawi Rasid apabila meledak gol pembukaan menerusi tendangan voli kaki kidal yang hampir menyamai jaringan bekas tonggak Manchester United, Robin van Persie ketika bertemu Aston Villa pada 2013.

Safawi Teruja Dapat Jaringkan Gol Cantik Voli Mirip Robin Van Persie

Malah, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sendiri tidak menyangka mampu melakukan aksi berkelas dunia berkenaan selepas menerima hantaran silang cantik rakan sepasukan, Matthew Davies di sebelah kanan.

"Itu jaringan yang pertama kali dapat saya lakukan dalam karier sebagai pemain bola sepak. Sebelum ini saya tak pernah buat dan sama sekali tak sangka ia masuk.

"Teknik gol itu agak susah, tetapi Alhamdulillah dapat juga saya buat untuk gol pertama pasukan kita," katanya sejurus tamat aksi antara Malaysia dan Brunei yang menyaksikan tuan rumah meraih kemenangan 2-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Pada aksi pertama kumpulan A itu, Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi sepakan cantik Safawi sebelum penyerang pelawat, Mohamed Zulkhairy Hady Razali menyamakan kedudukan selang lapan minit kemudian.

Adam Nor Azlin muncul wira skuad muda negara selepas menanduk masuk gol kemenangan negara pada minit ke-60, hasil sepakan sudut Safawi.

Mengulas mengenai kemenangan tipis itu, dia mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terutama dalam memperkemaskan sentuhan penyudah di depan pintu gol lawan.

"Persembahan saya memang kurang bagus kerana kerap hilang bola ketika cuba menyerang kubu Brunei. Saya perlu perbaiki kelemahan itu sebelum turun menentang Singapura, esok.

"Memang saya ada banyak peluang menjaringkan gol ketika bertemu Brunei, tetapi mungkin tiada rezeki untuk saya menambah lebih banyak gol," kata bekas ayam tambatan T-Team itu.

Sumner: Berita Harian

No comments

Powered by Blogger.