Possebon Bekas Pemain Red Devils Dalam Radar Skuad TRW

Possebon Bekas Pemain Red Devils Dalam Radar Skuad TRW|USAHA Kelantan mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan semakin rancak apabila bekas pemain tengah Manchester United, Rodrigo Possebon kini ber­ada dalam radar skuad The Red Warriors (TRW).

Possebon Bekas Pemain Red Devils Dalam Radar Skuad TRW

Possebon, yang pernah beraksi bersama Red Devils di bawah ken­dalian Alex Ferguson dari 2008 hingga 2010 menjadi import terbaru yang menarik minat Kelantan.

Panel pengurusan kejurulatihan Kelantan, Syed Abdullah Syed Mahmood me­ngakui, portfolio pemain dari Brazil itu mampu menarik perhatian peminat Kelantan untuk memenuhi stadium khususnya penyokong Red Devils.

“Saya tidak dapat mengesahkan perkara itu cuma apa yang boleh saya katakan, Possebon kini berada dalam radar Kelantan dan kami berminat mengikat pemain itu untuk jangka masa panjang kerana umurnya baru 28 tahun.

“Hanya Presiden Kafa (Persatuan Bola Sepak Kelantan) Bibi Ramjani (Ilias Khan) boleh mengesahkan sama ada Kelantan benar-benar akan mengambil pemain ini selepas menerima laporan daripada panel pemilihan.

“Panel pemilihan terdiri daripada jurulatih sementara (Sathit Bensoh), Setiausaha Agung (Hus­sin Deraman) dan empat lagi, termasuk saya,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Tambah Syed Abdullah, pemilihan skuad Kelantan musim depan dilakukan secara serius dengan mengadakan perbincangan bersama jurulatih dan Hussin sebelum dibawa kepada Bibi.

“Khamis lalu barisan kejurulatihan mengadakan perbinca­ngan dalam merangka pelan pasukan dan sudah pasti kami sudah mempunyai ketua jurulatih, namun hanya presiden boleh mengumumkan perkara tersebut.

“Kelantan juga sudah me­rangka dua aksi persahabatan, menentang Negeri Sembilan pada 30 November dan satu lagi pada 3 Disember namun lawan belum dapat disahkan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments

Powered by Blogger.